Thursday, November 05, 2015

ONLINE FEATURE: GEJALA BUNUH DIRI DI MALAYSIA



GEJALA BUNUH DIRI DI MALAYSIA
Oleh: Aqalili Azizan

"Kumar kemudian mendapati isterinya mati tergantung pada siling dalam bilik tidur di rumah mereka." - Astro Awani, 14 Oktober 2015.
Wanita yang bernama Aparna, 22 berasal dari Kerala dikatakan seorang pengamal media sosial yang aktif sehingga menghabiskan banyak masa di media sosial.
Dipetik dari laporan Indian Times, wanita yang baru berkahwin itu sering dimarahi oleh suaminya kerana ketagih menggunakan laman sosial seperti WhatsApp dan Facebook.
Akibat kecewa dengan tindakan suaminya merampas telefon bimbitnya, Aparna mengunci dirinya di dalam bilik tidur dan ditemui mati tergantung pada siling.
BUNUH DIRI
Daripada kejadian berikut, gejala bunuh diri merupakan satu perbuatan yang dilakukan oleh seseorang dengan sengaja dengan tujuan untuk memusnahkan diri sendiri atau bagi mengakhiri kehidupannya sendiri sehingga menemui kematian.
Keinginan untuk membunuh diri berlaku apabila individu itu menghadapi tekanan. Ketika itu, fikirannya yang tidak waras menyatakan tindakan bunuh diri ada lebih baik daripada meneruskan kehidupan.
PENYEBAB BUNUH DIRI
Walaupun gejala bunuh diri sering dikaitkan dengan penyakit mental kronik seperti kemurungan dan ketagihan dadah, tetapi pelbagai penyebab boleh juga dikatikan dengan gejala ini.
Pendekatan teori psikiatri Barat mendapati bahawa kemurungan merupakan punca utama gejala bunuh diri, walaupun ia boleh juga berlaku akibat dari faktor ketagihan dadah dan gangguan mental lain.
Berdasarkan kepada penelitian terhadap fenomena ini, suatu perkara yang jelas ialah kes bunuh diri sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada tekanan atau stress dan juga kestabilan pemikiran individu dalam menjalani kehidupan yang banyak cabaran.


KEMURUNGAN DAN BUNUH DIRI
Kemurungan yang melibatkan perasaan sedih atau murung, tidak berlaku hanya sehari, tetapi boleh berlarutan secara berpanjangan. Perasaan sedih yang kita alami adalah berbeza dengan penyakit perubatan ini.
Salah satu tanda kemurungan adalah seorang individu itu mempunyai keinginan untuk mati atau bunuh diri dengan kerap, atau mempunyai pelan masa hadapan untuk bunuh diri.
Jadi, pentingnya setiap individu itu untuk mengenal pasti jika mempunyai masalah kemurungan. Dekatkan diri dengan keluarga atau rakan anda, dan ceritakan masalah tersebut.
Jika mempunyai masalah hendak memberitahu teman sedekat, individu itu perlu mengambil inisiatif untuk berjumpa dengan pakar psikatri untuk mendapatkan cara yang lebih baik daripada bunuh diri.

STATISTIK KES BUNUH DIRI DI MALAYSIA
Di Malaysia, "National Suicide Registry Malaysia" (NSRM) menganggarkan hampir 1,100 kematian bunuh diri dicatatkan pada ketiga-tiga tahun (nisbah lelaki berbanding wanita 2:1). Dengan purata 60 kejadian bunuh diri setiap bulan, satu atau dua kes berlaku pada setiap hari.
Manakala, Kementerian Kesihatan juga telah mengenal pasti beli yang berumur lingkungan 16-25 tahun mempunyai risiko tinggi membunuh diri.

PUNCA BUNUH DIRI DI MALAYSIA
Punca bunuh diri di Malaysia adalah kerana beban hutang, krisis rumah tangga, kecewa bercinta, menghidapi penyakit kritikal, tekanan sosial (pelajaran atau tempat kerja), mangsa jenayah (cabul atau rogol), penyakit mental dan lain-lain.
Menurut NSRM majoriti mereka yang cuba atau membunuh diri ini tidak mempunyai latar belakang keluarga yang berpenyakit mental.
Cara kematian bunuh diri pula yang pernah direkodkan adalah menggantungkan diri, memakan racun, memakan ubat terlebih dos, terjun bangunan, jambatan atau sungai, menembak diri, kemalangan yang disengajakan seperti berdiri di atas landasan, melemaskan diri (gas beracaun atau asap), kejutan elektrik, mengelar pergelangan tangan dan lain-lain.

KONKLUSI
Jika ingin dikaitkan dengan agama Islam, "Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu." (Al-Imran [3]:189]. Sebagai makhluk yang dicipta oleh-Nya, kita tidak mempunyai kuasa untuk mengubah sesuatu, lebih-lebih lagi nyawa.
Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya, tindakan bunuh diri tidak perlu diletakkan dalam senarai pertimbangan anda. Ubah dan ambil tindakan yang sewajarnya.

Post a Comment

Latest Instagrams

© Curitan Aqalili. Design by FCD.